faq new hubungi kami new tns peta laman web new  

    Seksyen Aset Dan Perolehan

    Perolehan Kerajaan

    1. Apakah had nilai bagi pembelian terus yang diterimapakai di peringkat Kerajaan Negeri Pahang?

    Jawapan : Terdapat dua (2) kategori pembelian terus yang diterima pakai di peringkat Kerajaan Negeri Pahang iaitu:

    a) Pembelian Terus dengan kelulusan Ketua Jabatan
    - Pembelian terus dengan kelulusan Ketua Jabatan adalah kaedah perolehan yang diguna pakai apabila Jabatan ingin melaksanakan perolehan yang bernilai kurang daripada RM20,000.00. Jabatan perlu melaksanakan kajian pasaran dan mendapatkan kelulusan Ketua Jabatan terlebih dahulu sebelum melaksanakan pembelian berkenaan.

    b) Pembelian Terus dengan kelulusan Pegawai Kewangan Negeri
    - Pembelian terus dengan kelulusan Pegawai Kewangan Negeri adalah kaedah perolehan yang diguna pakai apabila Jabatan ingin melaksanakan perolehan yang bernilai RM20,000.00 hinggga RM50,000.00. Jabatan perlu melaksanakan kajian pasaran dan mengemukakan permohonan kepada Pegawai Kewangan Negeri beserta bukti kajian pasaran yang dilaksanakan. Kaedah ini hanya diterima pakai di peringkat Kerajaan Negeri sahaja dan berbeza dengan kaedah yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dalam 1PP. 1PP mensyaratkan setiap perolehan yang bernilai RM20,000.00 perlu dilaksanakan secara Sebut Harga.

    - Walau bagaimanapun, kaedah pembelian terus dengan kelulusan Pegawai Kewangan Negeri ini akan dimansuhkan secara berperingkat mulai tahun 2018 dan kaedah pembelian terus yang akan digunapakai adalah selaras dengan 1PP.

    2. Apakah kaedah yang boleh diguna pakai sebagai Kajian Pasaran bagi perolehan secara pembelian terus?

    Jawapan : Agensi perlu mendapatkan tiga (3) tawaran harga daripada pembekal tempatan melalui kaedah kajian pasaran yang ditentukan Agensi sendiri. Agensi boleh membuat kajian pasaran mengikut kesesuaian seperti dalam bentuk sebut harga (“quotation”) tidak formal, “window shopping”, carian laman web, harga pembelian lampau dan lain-lain. Agensi boleh menentukan kaedah kajian pasaran yang paling sesuai dengan bekalan/ perkhidmatan yang ingin diperolehi.

    Walau bagaimanapun, Jabatan-Jabatan di peringkat Kerajaan Negeri Pahang tidak perlu melaksanakan kajian pasaran bagi pembelian terus yang bernilai kurang daripada RM5,000.00 dan Ketua Jabatan perlu menggunakan budi bicara masing-masing bagi menentukan perolehan yang dilaksanakan adalah selaras dengan konsep “value for money”.

    3. Bilakah Kontrak Pusat Kertas A4 Putih 80 gsm berkuat kuasa bagi semua Agensi di Semenanjung Malaysia?

    Jawapan : Kontrak Pusat bagi pembekalan Kertas A4 Putih 80 g/sm untuk kegunaan semua Agensi di Semenanjung Malaysia berkuat kuasa 1 Mac 2016 hingga 28 Februari 2019 untuk tempoh tiga (3) tahun. Jabatan hendaklah merujuk Para 2 1PP PK 2.1 Kaedah Perolehan Kerajaan berhubung perkara ini.

    4. Bilakah sebut harga perlu dipelawa untuk perolehan kursus?

    Jawapan : Jika pembekal/ syarikat dikehendaki mengendalikan sesuatu kursus yang jumlah nilai tahunan melebihi RM20,000 atau RM50,000 maka sebut harga perlu dipelawa. Contoh 1: Kursus Kepimpinan sekali setahun bernilai RM10,000. Pembelian Terus dengan tiga (3) tawaran harga.

    Contoh 2: Kursus Kepimpinan empat (4) kali setahun bernilai RM40,000 (RM10,000 setiap kursus). Sebut Harga (empat (4) kursus tetapi peserta berbeza).

    Contoh 3: Kursus bersiri : Modul 1, 2, 3 dan 4 bernilai RM15,000 setiap modul berjumlah RM60,000 setahun. Sebut Harga (peserta sama dan perlu hadir setiap modul).

    5. Bagi perolehan perkhidmatan perunding, Agensi manakah yang telah diiktiraf sebagai Jabatan Teknik?

    Jawapan : Bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan fizikal, Jabatan Teknik adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sahaja. Dua Jabatan ini telah diberi kuasa Right of First Refusal (ROFR) untuk menentukan / mengenalpasti projek yang boleh dilaksanakan oleh Jabatan Teknik sendiri ataupun oleh Agensi. Jabatan hendaklah merujuk 1PP PK 3.1 Perolehan Perkhidmatan Perunding berhubung perkara ini.

    6. Bagaimanakah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas kontrak perolehan Kerajaan?
    Jawapan : 

    (a) Perolehan Bekalan

    - Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah diberi pelepasan daripada membayar GST ke atas perolehan bekalan (barang) kecuali bagi kereta import dan petroleum, selaras dengan Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pelepasan) 2014 [P.U.(A) 273/2014].

    - Walau bagaimanapun, pelepasan daripada membayar GST hendaklah dibuat melalui pengeluaran Certificate of GST Relief (CoGSTR). CoGSTR perlu ditandatangani ke atas setiap perolehan yang mendapat pelepasan GST seperti yang diperuntukkan dalam Perintah Cukai Barang dan 14 /174 Perkhidmatan (Pelepasan) 2014. Dalam hal ini, Pegawai Pengawal/ Ketua Jabatan atau mana-mana pegawai yang diturun kuasa oleh Pegawai Pengawal/ Ketua Jabatan sebagai pelulus Pesanan Tempatan/ Surat Setuju Terima (SST) dibenarkan untuk menandatangani CoGSTR mengikut had nilai perolehan yang telah ditetapkan.

    (b) Perolehan Kerja, Perkhidmatan Perunding dan Perkhidmatan Bukan Perunding

    - Perolehan kerja, Perkhidmatan Perunding dan Perkhidmatan Bukan Perunding adalah dikenakan GST.

    - Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri hendaklah menggunakan peruntukan sedia ada bagi menampung kenaan GST.

    7. Adakah GST juga dikenakan bagi pembekalan barangan/ perkhidmatan yang diberikan oleh pihak Kerajaan Persekutuan/ Negeri kepada pihak lain (orang awam/ syarikat/ Agensi Kerajaan dan lain-lain)?
    Jawapan : 

    Sebarang pembekalan barangan / perkhidmatan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan/Negeri kepada pihak lain sama ada awam, swasta atau Agensi Kerajaan yang lain adalah tidak dikenakan GST di bawah Seksyen 64 (1) Akta GST 2014 kecuali bagi pembekalan barangan/perkhidmatan yang dibuat oleh Agensi Kerajaan seperti berikut:

    (a) JKR Perlis, JKR Sarawak dan Jabatan Air Negeri Sabah – bekalan air dirawat;

    (b) Jabatan Penyiaran Malaysia – bekalan ruang pengiklanan / masa pengiklanan di radio dan televisyen; sewaan peralatan dan kemudahan penyiaran;

    (c) Jabatan Penjara Malaysia – bekalan barang yang dibuat dan perkhidmatan yang disediakan oleh banduan; dan (d) Jabatan Keretapi Negeri Sabah - Apa-apa pembekalan berhubung dengan pengangkutan barang. 15 / 174 Senarai Agensi Kerajaan di atas boleh berubah dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, Agensi perlu sentiasa merujuk kepada Perintah GST (Pemakaian kepada Kerajaan) dan apa-apa maklumat terbaru (boleh dicapai melalui laman sesawang gst.customs.gov.my).

    8. Adakah perbezaan antara Kontrak Pusat dan Kontrak Pusat Sistem Panel?

    Jawapan : Item bagi Kontrak Pusat dan Kontrak Pusat Sistem Panel adalah berbeza seperti yang terkandung dalam Para 2 dan Para 3 1PP PK 2.1 Kaedah Perolehan Kerajaan.

    9. Jabatan berhasrat untuk melaksanakan perolehan kasut kulit untuk diberikan kepada kakitangan yang berkelayakan. Adakah pembelian tersebut perlu dilaksanakan dengan syarikat kontrak pusat sistem panel?

    Jawapan : Tidak. Pembelian kasut kulit tidak lagi tertakluk kepada peraturan pembelian item kontrak pusat sistem panel. Ini memandangkan kontrak pusat sistem panel bagi kasut kulit telahpun tamat. Jabatan adalah bertanggungjawab untuk menyemak senarai terkini item kontrak pusat sistem panel serta tarikh kuatkuasa kontrak dalam Laman Web Rasmi 1PP.

    10. Jabatan telah diluluskan peruntukan sebanyak RM12,000.00 bagi pembelian aset perabot berasaskan kayu di bawah OSOL 35000. Kajian pasaran telah dilaksanakan dan didapati Syarikat ABC Sdn Bhd telah menawarkan harga terendah. Bolehkan pembelian perabot kayu tersebut dilakukan dengan syarikat tersebut?

    Jawapan : Tidak. Perabot kayu merupakan salah satu item kontrak pusat sistem panel dan pembelian hanya boleh dilaksanakan dengan syarikat panel sahaja mengikut kaedah perolehan yang telah ditentukan mengikut had nilai. Jabatan adalah bertanggungjawab untuk menyemak senarai syarikat sistem panel dalam Laman Web Rasmi 1PP.

    11. Jabatan berhasrat untuk melakukan pembelian perisian Microsoft (item kontrak pusat) dengan Syarikat Prestariang Sdn Bhd iaitu syarikat yang disenaraikan sebagai syarikat kontrak pusat. Adakah perolehan tersebut memerlukan kelulusan daripada Pegawai Kewangan Negeri?

    Jawapan : Tidak. Perolehan yang melibatkan item kontrak pusat dengan syarikat yang telah disenaraikan oleh Kementerian Kewangan tidak memerlukan kelulusan Pegawai Kewangan Negeri sebaliknya tertakluk kepada peraturan yang terkandung dalam 1PP PK 2.1 Kaedah Perolehan Kerajaan. Jabatan adalah bertanggungjawab untuk menyemak peraturan perolehan yang telah ditetapkan bagi setiap jenis item kontrak pusat dalam Para 2 1PP PK 2.1 Kaedah Perolehan Kerajaan.

    12. Apakah kaedah perolehan yang berkuatkuasa bagi percetakan dokumen kerajaan? Adakah perolehan percetakan boleh dilaksanakan secara terus dengan Syarikat Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB)?

    Jawapan : Semua urusan perolehan percetakan dokumen Kerajaan hendaklah dilaksanakan dengan syarikat Bumiputera yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan mengikut tatacara perolehan semasa. Bagi percetakan dokumen keselamatan, Agensi hendaklah mendapatkan khidmat nasihat dan pengesahan dari Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri (PKPKKM, JPM) sebelum perolehan dilaksanakan.

    Kerja-kerja cetakan bagi dokumen yang melibatkan Warta Kerajaan Persekutuan dan Negeri sahaja yang mesti dilaksanakan dengan PNMB tanpa tertakluk kepada sebarang had nilai dan tempoh masa. Agensi adalah dikecualikan daripada mengadakan kontrak formal dan bayaran bagi kerja-kerja percetakan yang hendaklah dibuat berasaskan inbois yang dikemukakan oleh PNMB. Percetakan dokumen selain yang dinyatakan di para berkenaan hendaklah mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.

    13. Jabatan berhasrat untuk melaksanakan perolehan bekalan alat tulis dengan Syarikat XYZ secara pembelian terus. Walau bagaimanapun, anggaran nilai pembelian tersebut adalah RM400,000.00. Adakah Jabatan dibenarkan melaksanakan perolehan bekalan tersebut secara pembelian terus dan diberikan pengecualian sebut harga?

    Jawapan : Tidak. Perolehan bernilai RM400,000.00 adalah tertakluk kepada pelaksanaan sebut harga. Sekiranya atas sebab-sebab atau justifikasi yang kukuh, Jabatan hanya akan dibenarkan melaksanakan perolehan tersebut secara Rundingan Terus dan proses Rundingan Harga perlu dilaksanakan sebagaimana peraturan yang telah ditetapkan.

    Please publish modules in offcanvas position.