w3cQRCode

Malay English

Modul Bajet SPEKS

Seksyen Belanjawan dan Hasil

1. Bagaimanakah prosedur memohon untuk menganjurkan pertunjukkan hiburan?

Pemohon hendaklah tertakluk di bawah Seksyen seperti di no.4. Pemohon perlu mendapatkan Borang Permohonan Duti Hiburan dari Unit Hasil Pejabat Daerah atau terus di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Pahang. Borang berkenaan hendaklah diisi dengan lengkap dengan mengemukakan dokumen sokongan (salinan yang disahkan) seperti berikut:

1. Sijil Pendaftaran Pertubuhan / Persatuan
2. Surat Kebenaran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri/Residen/Pejabat Daerah
3. Borang Permohonan menganjurkan Hiburan (Undang-Undang Cukai Hiburan No. 25/1953)
2. Bagaimanakah prosedur memohon untuk pengecualian duti hiburan?

Pemohon hendaklah tertakluk di bawah Seksyen seperti di no.10. Pemohon perlu mendapatkan Borang Pengecualian Duti Hiburan dari Unit Hasil Pejabat Daerah atau terus di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Pahang. Borang berkenaan hendaklah diisi dengan lengkap dengan mengemukakan dokumen sokongan (salinan yang disahkan) seperti berikut:-

1. Sijil Pendaftaran Pertubuhan / Persatuan
2. Surat Kebenaran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri/Pejabat Daerah
3. Permit Polis (jika ada)
4. Penyata Akaun / Penyata Akaun (Anggaran)
5. Borang Permohonan Perakuan Pengecualian Daripada Duti Hiburan No. 25/1953 (Sek. 4 dan 10)

3. Apakah seksyen-seksyen dibawah Akta Duti Hiburan 1953 yang melayakkan penganjur untuk memohon untuk menganjurkan pertunjukkan hiburan dan permohonan untuk pengecualian duti hiburan?
Seksyen 4(1)(3)(a):
Tertakluk pada seksyen ini hendaklah dicaj, dilevi dan dibayar kepada pemungut atas tiap-tiap bayaran bagi kemasukkan kemana-mana hiburan.
Tiada duti hiburan boleh dikenakan, dilevi atau dibayar atas apa-apa bayaran untuk masuk ke apa-apa hiburan yang terdiri daripada satu daripada acara berikut atau lebih :

1. Suatu permainan pentas
2. Suatu tarian balet atau tarian bercorak tradisional (sama ada permainan pentas atau tidak)
3. Suatu persembahan muzik (sama ada vocal atau instrumental)
4. Suatu syarahan atau
5. Suatu resitasi

Pertubuhan / institusi / jawatankuasa yang tidak dikendalikan atau ditubuh untuk keuntungan atau bahawa hiburan itu adalah suatu hiburan amatur.
Seksyen 10(1)(a):

Keseluruhan kutipan daripada sesuatu hiburan itu akan dibaktikan bagi maksud-maksud derma atau khairat sama ada di Malaysia atau ditempat lain tanpa dikenakan apa-apa wang.
Seksyen 10(1)(b):

Seorang Pengarah Pendidikan memperakui secara bertulis bahawa hiburan itu akan diadakan bagi maksud-maksud pendidikan dan bahawa hadirin akan dihadkan kepada orang-orang yang menerima pendidikan sepenuh masa di sesuatu establismen pendidikan yang diiktiraf dan kepada kakitangan pengajar establismen itu
Seksyen 10(1)(c):

Hiburan itu diadakan oleh sesuatu pertubuhan yang tidak ditubuhkan atau dianjurkan untuk keuntungan dan mengandungi semata-mata suatu pameran:

1. Mengenai keluaran sesuatu industri atau bahan, jentera, peranti atau barang makanan yang digunakan untuk mengeluarkan keluaran itu atau pertunjukan kemahiran oleh pekerja dalam industri itu dalam kerja berkaitan industri itu.
2. Mengenai karya seni grafik, seni pahat dan seni pertukangan tangan atau satu daripada kelas karya itu atau lebih yang dibuat dan dipamerkan oleh orang yang mengamalkan seni grafik, seni pahat atau seni pertukangan tangan untuk keuntungan dan sebagai pekerjaan utama mereka atau pertunjukan kemahiran oleh orang itu dalam kesenian atau pertukangan-pertukangan atau
3. Mengenai barang atau pertunjukan kemahiran yang ada kepentingan material berkaitan dengan soal-soal mengenai kesihatan awam.
Atau mengandungi semata-mata pameran atau pertunjukan kemahiran itu bersama-sama dengan suatu persembahan muzik oleh suatu pancaragam atau suatu pameran kerja atau pertunjukan kemahiran oleh kanak-kanak di bawah umur 16 tahun atau orang-orang muda yang menuntut di sesuatu sekolah atau institusi pendidikan yang lain :

Dengan syarat bahawa,
1. Notis mengenai tuntutan bagi pengecualian daripada duti hiburan seperti di atas hendaklah diberi kepada pemungut tidak kurang daripada 14 hari sebelum mulanya hiburan itu dan
2. Pemungut selepas mengambil apa-apa pernyataan dan menbuat apa-apa siasatan yang difikirkannya patut hendaklah memberi kepada tuan punya itu suatu perakuan pengecualian daripada bayaran duti hiburan.

Seksyen 11:
Apabila pemungut berpuas hati bahawa keseluruhan pendapatan bersih daripada sesuatu hiburan telah dibaktikan bagi maksud-maksud pendidikan, khairat atau derma dan bahawa keseluruhan perbelanjaan bagi hiburan itu tidak melebihi 20% daripada jumlah kutipan hiburan itu, dia hendaklah membayar balik kepada tuan punya itu amaun duti hiburan yang telah dibayar berkenaan dengan hiburan itu.

Seksyen 12(3):
Pemungut boleh mengecualikan, tertakluk kepad apa-apa syarat yang difikirkannya patut, apa-apa hiburan yang berkenaan dengannya jumlah amaun duti hiburan yang kena dibayar pada pendapatnya tidak akan melebihi RM500.00, daripada bayaran duti hiburan tersebut.

4. Dimanakah duti hiburan boleh dibayar?

Duti hiburan boleh dibayar di semua kaunter Pejabat Daerah atau ke Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Pahang.

5. Berapakah kadar duti hiburan yang perlu dibayar?
Kadar duti hiburan yang ditetapkan adalah kadar rata 25%.

6. Di bawah Akta Duti Hiburan 1953, apakah tafsiran hiburan yang dikenakan duti?
- Prosedur Duti Hiburan di bawah Akta Duti Hiburan 1953 (Pindaan sehingga 1hb Oktober 1994)-
"Hiburan" termasuk apa-apa pameran, persembahan, keseronokan, permainan atau sukan yang kepadanya orang-orang dibenarkan masuk dengan bayaran. Seksyen 4(1), tertakluk kepada seksyen ini maka hendaklah dikenakan, dilevi dan dibayar kepada pemungut atas tiap-tiap bayaran untuk masuk ke apa-apa hiburan suatu duti (dalam Akta ini disebut sebagai duti hiburan) mengikut apa-apa kadar yang dikenakan menurut ketetapan Dewan Rakyat dari semasa ke semasa.

7 Prosedur Pulang Balik Hasil Di Bawah Arahan Perbendaharaan 87 (b)

Apa-apa pulangan balik hasil adalah memerlukan pengesahan Pegawai Pengawal bagi mendapatkan kelulusan daripada Pegawai Kewangan Negeri

8.Kerugian Yang Disebabkan Oleh Hutang Dan Tunggakan Hasil Yang Tidak Boleh Didapatkan (Hapuskira) Di Bawah Arahan Perbendaharaan 328 dan Akta Prosedur Kewangan 1957 sek. 17b
Apa-apa hapus kira hasil adalah memerlukan pengesahan Pegawai Pengawal bagi mendapatkan kebenaran daripada Pegawai Kewangan Negeri untuk mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri